KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) terutamanya membabitkan sentimen agama yang sengaja dimainkan sesetengah pihak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas dengan menggunakan segala undang-undang sedia ada tanpa kompromi.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyentuh isu-isu 3R yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni, perpecahan dan ketegangan yang boleh mengancam keselamatan negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa,” katanya.
Terdahulu, beberapa individu memuat naik video penghinaan agama Islam dengan menghina al-Quran dengan mengaitkan pornografi dan Islam mengajak pembunuhan.
Menerusi beberapa video berasingan, seorang individu turut menghina islam dengan mengaitkan orang yang berkunjung ke masjid adalah pelacur.
“Patut kamu buat tonggeng-tonggeng (solat) dekat masjid, baik buat pelacur. Lagi banyak dapat duit,” kata seorang individu dalam video tular.
Video berunsur penghinaan agama banyak dimuat naik di sosial media ekoran kes penyampai radio yang didakwa mempersenda upacara agama Hindu.
Terdahulu Kosmo! melaporkan sebanyak 73 laporan polis diterima berkait isu penyampai radio Era FM manakala kertas siasatan dirujuk Pejabat Peguam Negara (AGC) hari ini.
Semalam enam kakitangan radio Era FM termasuk tiga penyampainya ke Bukit Aman untuk dirakam percakapan. – KOSMO! ONLINE.