KANGAR – Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 1,220 liter petrol tanpa lesen sah, dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Dinie Fahmi Zulkepli, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki petrol dalam beberapa tong dram dan tong plastik iaitu kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan secara runcit bahan bakar itu tanpa lesen sah.
Kesalahan itu dituduh dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Wang Kelian, Kaki Bukit di Padang Besar pada pukul 5.10 petang, 18 September 2023
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kelihatan gemuruh dan merayu agar hukuman dikurangkan dengan alasan menanggung empat orang tanggungan.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S. Mugunthan bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum kerana kesalahan itu melibatkan penyelewengan bahan bakar bersubsidi yang memberi kesan kepada kepentingan awam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM17,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.
Hakim turut memerintahkan wang jualan rampasan petrol bernilai RM2,501 dijadikan hasil negara, manakala barang kes lain diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk dilupuskan. Tertuduh membayar denda seperti ditetapkan. – KOSMO! ONLINE