IPOH – Seorang anggota polis marin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 43 pertuduhan menerima rasuah bernilai RM146,350 antara Mei 2016 hingga Julai 2019.
Tertuduh, Koperal Zubairi Abdul Mutalib, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Ketua Jentera Bot Ronda PSC 16 di Pangkalan Polis Marin, Kampung Acheh, Sitiawan didakwa menerima wang antara RM150 hingga RM4,750 daripada Lim Mee Lan melalui pindahan wang melalui akaun Ambank wanita terbabit.
Suapan itu diterima sebagai dorongan untuk tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap 18 buah bot nelayan yang dikatakan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Perbuatan tersebut dilakukan tertuduh di Maybank Berhad Cawangan Sitiawan di Sri Manjung antara 1 Mei 2016 hingga 30 Julai 2019.
Tertuduh didakwa mengikut kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Aizad Fakhri.
Pada prosiding sama, bapa kepada dua anak itu turut didakwa dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Nurul Wahida menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 namun Muhamad Aizad memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan ke atas anak guamnya kepada RM5,000.
Hakim Priscilla Hemamalini kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.
Mahkamah turut menetapkan prosiding untuk baki pendakwaan ke atas tertuduh sebanyak 101 pendakwaan lagi didengar esok.
Tertuduh gagal membayar jaminan hari ini ekoran waktu yang suntuk dan dihantar ke lokap SPRM. – K! ONLINE