fbpx

Ejen haram bekal pekerja asing tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Imigresen ketika mengadakan serbuan di beberapa lokasi di ibu negara, semalam. -Foto JIM

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan sindiket ejen haram yang membekalkan pekerja asing secara tidak sah dalam satu Operasi Khas di tiga lokasi berasingan di ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan pada semalam melibatkan serbuan di Taman Kemuning Utama, Shah Alam; Taman Pandan Cahaya, Ampang dan Jalan Datuk Eusoff, Kuala Lumpur.

“Operasi bermula pada pukul 11.05 pagi melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Operasi dijalankan atas maklumat awam dan risikan selama tiga minggu, pasukan operasi telah memeriksa 17 individu di premis terbabit dan menahan enam lelaki warga asing berusia antara 30 hingga 50 tahun.

Katanya, mereka terdiri daripada lima warga Bangladesh dan seorang warga Pakistan dengan salah seorang daripada mereka dipercayai sebagai majikan kepada pekerja-pekerja asing yang ditahan.

“Hasil siasatan awal mendapati, seorang warga Bangladesh yang ditahan memiliki pas sah, manakala selebihnya telah tinggal lebih masa, melanggar syarat pas, atau tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Kata Zakaria, pihaknya turut merampas 394 pasport Bangladesh, pasport Indonesia (enam), pasport India (dua), pasport Pakistan (sembilan), pasport Filipina (satu),

Turut dirampas, tiga buah telefon bimbit, cop syarikat, wang tunai RM12,550 dan sebuah kenderaan jenis Honda Insight Hybrid.

Katanya, modus operandi syarikat adalah membekalkan pekerja asing yang telah diluluskan kuota pekerja asing melalui calling visa dan program rekalibrasi yang dijalankan sebelum ini.

“Syarikat ini akan membekalkan pekerja asing kepada majikan yang telah disenarai hitam dari memohon kuota pekerja asing dengan bayaran sebanyak RM8,000 setiap seorang,” ujarnya.

Selain itu katanya, sindiket tersebut turut menawarkan perkhidmatan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan kadar bayaran antara RM4,000 hingga RM6,000 setahun bagi setiap pekerja.

Menurut Zakaria, syarikat itu dipercayai telah beroperasi selama setahun sebelum kegiatan mereka berjaya dipatahkan oleh pihaknya.

Kesemua individu yang ditahan kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI