fbpx

[VIDEO] Ribut seperti filem, kenang nasib sambut Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman bersama keadaan rumah yang musnah akibat ribut pagi tadi.

SABAK BERNAM – Kedatangan Ramadan kali ini memberi dugaan besar kepada seorang peniaga gerai makanan apabila rumahnya musnah dibadai ribut dalam kejadian di Ban 4, Sekinchan di sini hari ini.

Azman Mastol, 58, antara tujuh ketua keluarga yang terjejas susulan ribut selama dua jam bermula kira-kira pukul 7.15 pagi yang memusnahkan lapan buah rumah keseluruhan.

Menurut Azman, semasa kejadian dia berada di rumah anaknya di Putrajaya sebelum dimaklumkan insiden tersebut oleh jirannya.

Katanya, ini merupakan kali pertama kejadian seumpamanya yang berlaku sehingga memusnahkan rumah pusakanya itu.

“Saya tiba kira-kira pukul 11 pagi dan dapati bumbung dapur dan depan hilang.

“Kebetulan hujan lebat masa ribut tersebut telah menyebabkan rumah ditakungi air pada paras buku lali. Banyak peralatan elektrik rosak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Bapa kepada tiga anak itu menganggarkan kerugian mencecah RM120, 000 selain mengakui runsing melihat keadaan rumah itu terutama bagi sambutan Aidilfitri nanti.

“Biasanya sambut di sini bersama isteri, anak, menantu dan dua cucu. Tahun ini, tengoklah bagaimana kalau tidak dapat siap terpaksa beraya di rumah anak,” jelasnya.

Bagi G. Rani, 40, bersyukur apabila anak perempuannya berusia empat tahun tidak dibawa bersama dalam pusaran angin yang memusnahkan bahagian atas rumahnya.

“Saya sempat membawa turun anak. Kalau lewat mungkin termasuk dalam pusaran. Bahagian atas rumah memang ‘total lost’.

“Sangat menakutkan dan sepanjang tempoh ribut itu hanya mampu berdoa bersama lima lagi ahli keluarga saya,” ujarnya.

Sementara itu, seorang mekanik, V. Murugaya, 39, keadaan ketika itu tidak ubah seperti filem termasuk berlaku percikan api dari tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Semasa kejadian saya baharu hendak mandi sebelum bumbung tercabut. Saya cuma fikir keselamatan keluarga sahaja dan masa kejadian tidak tahu hendak lari mana,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, fenomena alam tersebut berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi dengan anggota bomba yang tiba kemudiannya mendapati ada rumah sedang dilanda ribut.

“Sebanyak lapan buah rumah musnah melibatkan 36 mangsa ada antara mereka kini tinggal di rumah saudara mara.

“Semua agensi turut hadir termasuk TNB memotong bekalan elektrik bagi mengelakkan arus di kawasan rumah terjejas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI