KUALA LUMPUR – Peningkatan inflasi kos perubatan dan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih tinggi punca utama premium produk insurans, takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) semakin meningkat.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, produk MHIT di Malaysia ditawarkan dengan kadar premium yang ditetapkan semula secara berkala oleh pengendali insurans dan pengendali takaful (ITO)
Bagaimanapun, kata beliau, semasa menetapkan semula premium, ITO dikehendaki mematuhi peraturan yang ditetapkan di dalam Dokumen Dasar Perniagaan MHIT.
“ITO hanya boleh menetap semula premium apabila kos tuntutan sebenar meningkat secara berterusan serta melebihi nilai ambang yang ditentukan lebih awal dalam amalan dalaman ITO.
“ITO juga tidak dibenarkan untuk menetapkan semula premium semata-mata untuk meningkatkan keuntungan ITO,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan garis panduan yang sewajarnya untuk menangani masalah peningkatan premium insurans perubatan swasta.
Hui Ying berkata, kerajaan menyedari beban kewangan dihadapi rakyat tersebut, maka Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil beberapa langkah interim bagi mengekang impak kenaikan premium MHIT.
Menurutnya, semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, BNM, hospital swasta dan ITO juga sedang bekerjasama menyegerakan pelaksanaan inisiatif untuk membendung inflasi kos perubatan.
Kata beliau, Kementerian Kesihatan akan turut mengkaji keperluan meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi menangani isu caj berlebihan di hospital swasta.
Jelas beliau, ia bagi membolehkan pengenalan pelaksanaan kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) yang bertujuan meningkatkan ketelusan caj rawatan kepada pesakit di hospital swasta
“DRG adalah mekanisme pembayaran perkhidmatan kesihatan yang lebih moden dan holistik berbanding dengan mekanisme pembayaran sedia ada iaitu bayaran fee untuk perkhidmatan.
“Berbanding fee untuk perkhidmatan, pembayaran berasaskan DRG yang dilengkapi pemantauan kualiti klinikal akan menggalakkan kecekapan hospital didorong untuk memberikan rawatan lebih berfokus dan berkesan, mengelakkan proses dan ujian yang tidak perlu serta pada masa sama memastikan pesakit mendapat penjagaan berkualiti,” katanya. – KOSMO! ONLINE