KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal memuktamadkan perjanjian berkaitan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS)
PAC dalam satu kenyataan berkata, hal itu disebabkan oleh pertikaian caj yang sepatutnya dikenakan bermula 1 April 2018 hingga kontrak tamat pada 31 Mei 2024 seperti dinyatakan dalam surat setuju terima (SST)
“KDN mengeluarkan SST sebelum memuktamadkan terma dan kaedah perolehan dalam proses mengeluarkan SST FWCMS.
“Kegagalan kerajaan menghormati SST ditandatangani dan tidak memuktamadkan kontrak sehingga tamat tempoh membuka ruang untuk terdedah kepada tindakan undang-undang oleh syarikat Bestinet yang menuntut ganti rugi RM1.57 bilion,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut PAC, tuntutan Bestinet bernilai RM1.57 bilion berdasarkan kiraan kerugian pendapatan dan faedah dari 1 April 2018 sehingga 31 Mei 2024 iaitu masing-masing sejumlah RM1.32 bilion dan RM252 juta yang sepatutnya dikutip melalui sistem FWCMS.
Sementara itu, PAC mengesyorkan KDN memaklumkan mekanisme kutipan caj RM215 dan kaedah pembayaran kepada Bestinet yang sudah dimuktamadkan serta diluluskan.
Kata PAC, KDN perlu juga menjelaskan kaedah terbaik dalam mengoptimumkan FWCMS hingga 2031 memandangkan pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dijangka siap pada 2028.
“KDN haruslah meningkatkan kawalan keselamatan siber termasuk sistem dan data terhadap FWCMS memandangkan ia diuruskan Bestinet.
“Kerajaan perlu mematuhi sepenuhnya prosedur perolehan dan segala peraturan kerajaan berkaitan sedia ada dan sedang berkuat kuasa,” kata PAC. – KOSMO! ONLINE