PETALING JAYA – Bedah siasat ke atas mayat pegawai tribunal rayuan kastam Kementerian Kewangan yang ditemui maut di Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan di Putrajaya berpunca jerutan pada leher.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, bedah siasat telah dijalankan oleh pakar patologi Hospital Sultan Idris Shah antara pukul 11 pagi hingga 1.30 tengah hari tadi.
Katanya, hasil bedah siasat itu mendapati punca kematian adalah disebabkan ‘compression of neck due to ligature strangulation’ atau tekanan pada leher akibat jerutan.
“Berdasarkan laporan post-mortem dan keterangan pakar patologi siasatan masih diklasifikasikan di bawah laporan mati mengejut (SDR),” katanya berhubung perkembangan terkini kes berkenaan, hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan mayat lelaki berusia 45 tahun itu yang bertugas di Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ditempatkan sebagai pegawai tribunal kastam dijumpai dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan leher dan kaki terjerut ‘cable tie’.
Bagaimanapun, polis sebelum ini memaklumkan bahawa tiada unsur jenayah ditemui di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai SDR. – KOSMO! ONLINE