MARAN – Kesedihan yang tidak tertanggung oleh seorang ibu selepas anak kesayangannya maut dalam kejadian kemalangan berakhir dengan kematian mangsa yang rebah ketika mengiringi anaknya ke hospital kelmarin.
Difahamkan akibat terlalu terkejut dengan kematian anak bongsunya, Firdaus Ramli,17, menyaksikan Shariyati Ramli, 46, yang sempat memangku anaknya yang cedera parah akibat kemalangan meninggal dunia selepas rebah di Hospital Jengka.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.35 petang itu, Firdaus yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik maut selepas motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah lagi motosikal di Kilometer 32 Jalan Maran-Jerantut di sini.
Ketika kejadian, mangsa yang bekerja di sebuah kilang memproses ayam di Bandar Jengka dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Pekan Tong Kiat di sini untuk berbuka puasa bersama keluarga.
Shariyati yang menerima perkhabaran duka itu segera bergegas ke tempat kejadian dan sempat memangku anaknya yang berlumuran darah sambil menangis dan kemudian mengiringi jenazah anaknya menaiki ambulans ke Hospital Jengka.
Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital, Shariyati mengadu lemah badan sebelum rebah dan dikejarkan ke unit kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 2.30 petang semalam.
Abang kepada allahyarhamah Shariyati, Mat Sharif Ramli, 50, berkata, dia melihat sendiri adiknya berada dalam keadaan terkejut dan berduka cita sebelum rebah di hospital.
“Arwah memang sangat menyayangi anak bongsunya. Firdaus bekerja keras untuk membeli motosikal Yamaha Y15ZR menggunakan titik peluh sendiri sebulan lalu, tetapi tidak sangka umurnya tidak panjang.
“Lebih menyayat hati ibu mereka, Shariyati yang baru dua tahun berkahwin semula selepas berpisah dengan suami terdahulu, tidak dapat menerima kehilangan anaknya dan akhirnya menyusul pergi,” katanya. – KOSMO! ONLINE