KUALA LUMPUR- Bank Rakyat meneruskan tradisi mengedar bubur lambuk untuk tahun ke-12 berturut-turut dengan mengagihkan 7,000 pek di sekitar Lembah Klang.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, bersempena kempen Hulurkan Salam pada tahun ini, sebanyak 20 kawah digunakan bagi menyediakan bubur lambuk.
Tambahnya, inisatif ini adalah bertujuan untuk menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan dengan berkongsi rezeki serta memperkukuhkan semangat kebersamaan bersama komuniti setempat.
“Bank Rakyat sentiasa berusaha untuk memberi kembali kepada masyarakat melalui penganjuran pelbagai aktiviti kebajikan dan inisiatif tanggunghawab sosial korporat.
“Kami juga percaya bahawa bulan Ramadan adalah waktu yang tepat untuk mengeratkan jalinan ukhuwah dengan masyrakat yang menjadi tunjang kekuatan operasi kami selama ini,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd. Shariff pula berkata cadangan penambahan pek dan menu seperti dodol akan dilakasanakan bagi memeriahkan acara pada tahun depan.
“Kita juga akan menjemput anak-anak yatim bersama Bank Rakyat dalam majlis ini bagi merapatkan lagi silaturahim dengan masyarakat di luar sana,” ujarnya.
Bubur lambuk itu diagihkan kepada orang ramai bermula jam 12.30 tengah hari di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang termasuk Bangsar, Damansara, Shah Alam, Rawang dan Puchong. -KOSMO! ONLINE