KUALA LUMPUR – Pelakon Beego menepis dakwaan berlaku keganasan dalam rumah tangga yang dikatakan menjadi punca isterinya, Linda Hashim menfailkan cerai.
Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, bagaimanapun mengakui ada insiden kecil berlaku dan menganggap itu sebagai asam garam dalam perkahwinan.
“Saya pernah beri komen sebelum ini, ingin saya jelaskan keganasan rumah tangga tidak berlaku. Cuma kalau ada insiden kecil berlaku itu perkara biasa,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai proses sebutan yang sudah berlangsung, pelakon filem Gila Gila Pengantin Remaja itu tetap dengan pendiriannya tidak mahu melepaskan Linda.
“Mahkamah tanya adakah saya mahu ceraikan isteri? Saya jawab tidak mahu. Saya akan cuba selamatkan rumah tangga ini daripada bercerai untuk kali ketiga,” ujarnya.
Dalam pada itu, bapa kepada tiga cahaya mata itu memaklumkan sudah melakukan pelbagai usaha bagi menyelamatkan perkahwinan dengan Linda, antaranya memujuk dan memberi jambangan bunga.
“Pelbagai usaha sudah saya lakukan untuk selamatkan rumah tangga, usaha itu dibuat sejak dia keluar dari rumah kelamin kami. Cuma dia keras (degil) sikit.
“Saya mesej dia melalui telefon, jumpa mak ayahnya, bagi dia bunga dan hantar bunga dalam kereta,” kongsinya.
Terdahulu Linda memfailkan cerai terhadap Beego pada Januari lalu dengan alasan sudah tiada persefahaman.
Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – KOSMO! ONLINE