NARATHIWAT, THAILAND – Ibu kepada penyanyi Bea Sobar Bea, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin, terpaksa menggadai barang kemas anaknya untuk membayar sebahagian kos guaman demi memastikan wanita itu bebas daripada pertuduhan kes memiliki 6,059 biji pil kuda.
Zahara Mamat, 47, berkata, dia menjual barangan kemas milik Eda Ezrin yang dianggarkan bernilai 200,000 baht atau lebih RM26,344 untuk menampung kos tersebut.
Menurutnya, jumlah itu hanya sebahagian daripada bayaran keseluruhan dianggarkan bernilai 500,000 baht atau lebih RM65,861 yang ditetapkan oleh pihak peguam bela.
“Kos keseluruhan untuk kos guaman kes ini dianggarkan sebanyak RM65,861, namun saya hanya dapat membayar RM26,344 hasil daripada jualan barangan kemas Eda Ezrin.
“Baki bayaran untuk kos guaman Eda sebanyak 300,000 baht atau lebih RM39,516 dibayar oleh keluarga mentuanya,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini hari ini.
Zahara memberitahu, dia tiada pilihan lain apabila terpaksa menjual kesemua barangan kemas milik Eda Ezrin kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.
Menurutnya, dia ketika ini menetap di Tak Bai di sini dan membuk sebuah kedai makan kecil-kecilan di pekan tersebut sejak Eda Ezrin ditahan reman di Penjara Wilayah Narathiwat kira-kira empat bulan lalu.
“Saya memang asal sini (Thailand). Apabila Eda Ezrin ditahan reman pada November lalu, saya balik dan membina hidup di sini. Kedai makan saya di Kelantan juga sudah tutup.
“Apabila menetap di sini, saya boleh melawat Eda Ezrin di penjara pada hari Khamis setiap minggu. Saya akan bawa makanan yang diminta Eda Ezrin setiap kali waktu melawat. Baru-baru ini, dia minta nasi ayam pad kra pao,” ujarnya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, Eda Ezrin bersama lima yang lain masih belum dibenarkan keluar dari Penjara Wilayah Narathiwat biarpun dibebaskan atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Peguam tertuduh, Sufian Abdul Aziz ketika ditemui pemberita berkata, ini kerana pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dalam masa sebulan.
“Buat masa ini, keenam-enam anak guam saya masih belum boleh dibenarkan keluar dan perlu berada dalam penjara sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan.
“Jika tiada rayuan, mereka akan dibenarkan pulang,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Eda Ezrin atau nama sebenarnya, Eda Ezrin, suami, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dipenjara enam bulan dan denda 4,000 bath (RM526) selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengambil pil kuda.
Mereka berenam bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kudadi sebuah hotel di Sungai Golok di sini pada 1 November lalu.
Kesemua mereka bagaimanapun tidak perlu membayar denda kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan baik di penjara sepanjang tempoh tahanan reman.
Keputusan itu dibuat panel dua hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding perbicaraan kes tersebut bulan lalu.
Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira didenda dengan jumlah sama selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini. – KOSMO! ONLINE