NARATHIWAT, THAILAND – Mahkamah wilayah ini hari ini memberitahu, tiada bukti yang boleh dikaitkan ke atas enam tertuduh termasuk penyanyi Bae Soba Bea, Eda Ezrin berhubung pemilikan 6,059 bijil pil kuda yang ditemui di dalam bilik hotel mereka pada 1 November lalu.
Hakim berhujah, rakaman televisyen litar tertutup di sebuah hotel di Sungai Golok di sini juga tidak menunjukkan mereka membawa masuk kesemua dadah ke dalam bilik.
“Sebaliknya, ada tiga individu lain yang membawa masuk dadah tersebut ke dalam bilik keenam-enam tertuduh,” ujarnya.
Hari ini, Eda Ezrin, suami dan empat rakannya dibebaskan daripada pertuduhan memiliki dadah tersebut.
Keputusan itu diputuskan oleh panel dua hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding perbicaraan kes tersebut pada bulan lalu.
Bagaimanapun, mereka masih belum dibebaskan daripada penjara memandangkan pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dalam masa sebulan.