JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebas dan melepaskan tiga rakan atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis methaphetamine di ladang lembu di Kampung Pengkalan Batu, Mersing, enam tahun lalu.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh S. Purusothaman, 42, K. Puvanisveran, 58, dan R. Viknesh, 39.
Dalam penghakimannya, mahkamah berpendapat premis dan ladang itu boleh diakses oleh orang lain selain tertuduh dan keterangan saksi pendakwaan sendiri mengesahkan ada orang lain yang boleh mengakses premis merah dan ladang tersebut.
“Mahkamah ini berpendapat pendakwaan gagal membuktikan ketiga-tiga tertuduh mempunyai kawalan atau jagaan ke atas dadah berbahaya yang menjadi teras pertuduhan.
“Penemuan dadah dalam premis tidak memadai untuk mengaitkan Purusothaman dengan kawalan dadah berbahaya. Tiada keterangan lain menunjukkan siapa yang meletakan dadah itu, bila ia diletakkan sebelum tarikh serbuan dilakukan,” hujahnya.
Mahkamah berpendapat, penemuan anak kunci semata-mata tidak memadai. Bagi tuduhan mengedar methamphetamine, pemilikan gagal dibuktikan terhadap semua tertuduh.
Mereka yang bekerja sebagai penternak didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine seberat 6.2 kilogram dan memiliki cecair dadah jenis sama dengan isi padu 58.68 liter di Mersing pada 4.10 petang, 28 Ogos 2019.-KOSMO! ONLINE