KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang menyediakan Pelan Pemulihan dan Peningkatan Pengeluaran Getah di Kawasan Tanaman Getah Terbiar.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia sebahagian usaha strategik membangunkan 409,000 hektar kebun getah matang terbiar dianggarkan di seluruh negara.
Jelas beliau, pelan itu antara lain bertujuan meningkatkan pengeluaran dan produktiviti tanah, selain mampu meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
Kata beliau, antara strategi utama pelan itu adalah pelaksanaan program Konsolidasi Pekebun Kecil iaitu pendekatan konsolidasi tanah getah terbiar yang akan dilaksanakan melalui model ladang berkelompok (kluster)
“Pendekatan itu membolehkan kawasan kecil disatukan menjadi ladang berskala besar yang lebih ekonomik.
“Pembangunan infrastruktur dan penyediaan sokongan teknikal dengan kebun terbiar akan dimajukan menerusi penyediaan infrastruktur mengikut keperluan,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berhubung pelan KPK membangunkan lebih 420,000 hektar ladang getah terbiar yang dikenal pasti.
Dalam pada tu, Johari berkata, pelan tersebut menggariskan strategi program pemulihan dan penyelenggaraan kebun getah matang terbiar dengan aktiviti pembersihan dan pemulihan tanah.
Kata beliau, ia bagi memastikan kebun getah yang pokok sudah tua dapat ditanam semula dengan klon getah bermutu tinggi dan lebih tahan penyakit serta berdaya hasil tinggi.
Tambahnya, program latihan untuk pekebun kecil meliputi aspek penyelenggaraan kebun terbiar, amalan pertanian baik (GAP) serta teknik membaja dan menorah akan turut dilaksanakan.
Katanya, kempen kesedaran dan penyertaan pekebun kecil membabitkan sesi libat urus akan dijalankan untuk memastikan penyertaan aktif pekebun kecil dalam program tersebut.
“Ini termasuk promosi manfaat penyertaan dan penyelesaian kepada isu kebimbangan mereka seperti pemilikan tanah dan perkongsian hasil,” katanya. – KOSMO! ONLINE