PETALING JAYA – Seorang lelaki berdepan pengalaman hitam apabila sukar bernafas sehingga terpaksa dimasukkan ke bilik kecemasan akibat keracunan gas selepas mencuci bilik air menggunakan peluntur yang dicampur pencuci lantai.
Kisah itu diceritakan pengguna Facebook, Smith Ryder berhubung insiden menimpanya sehingga terpaksa menerima rawatan di klinik.
“Aku nak cuci tandas bawah, tempat isteri mandi, aku dah janji dengan dia yang aku nak bersihkan beberapa hari lepas.
“Semangat dah ada, bahan-bahan dah siap, pencuci lantai, peluntur, berus semua dah siap. Aku siap bergurau lagi dengan isteri sebelum nak cuci lantai.
“Tapi disebabkan bodoh dan tak terfikir yang peluntur campur pencuci lantai (menghasilkan) bau kimia yang teramat pedih hingga menyebabkan kesukaran bernafas,” katanya menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini.
Lelaki itu berkata, biarpun pedih dan sukar bernafas, dia tetap menyiapkan kerja-kerja mencuci dan membersihkan bilik air serta tandas tersebut.
“Dalam masa sama aku terbatuk, terbelahak, kahak, hingus berair mata semua keluar. Selesai cuci aku ‘start’ (hidupkan enjin) kereta terus ke klinik.
“Sampai sana (klinik) bila aku cakap aku terhidu bahan beracun, terus dia (kakitangan klinik) heret aku masuk bilik kecemasan untuk diperiksa tahap oksigen, paru-paru, darah tinggi semua,” katanya.
Pemuda itu bersyukur apabila masih di peringkat awal keracunan bau kimia yang kuat dan doktor menyarankan sekiranya sukar bernafas, dia perlu bergegas ke hospital.
“Aku ingat bila campur lagi cepatlah boleh bersihkan lantai, rupanya kalau buat begitu, lagi cepat ‘pindah alam’,” katanya. – KOSMO! ONLINE