fbpx

[VIDEO] Eda Ezrin, suami bebas tuduhan miliki 6,059 pil kuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Eda Ezrin (gambar kecil) tiba di Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk prosiding jatuh hukum hari ini.

NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi lagu Bae Sobar Bae, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat, di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda pada 1 November lalu.

Eda Ezrin dan suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, bagaimanapun dihukum penjara enam bulan dan denda 4,000 bath (RM526) selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengambil pil kuda.

Kesemua mereka bagaimanapun tidak perlu membayar denda kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan sangat baik di penjara sepanjang tempoh tahanan reman.

Keputusan itu dibuat panel dua hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding perbicaraan kes tersebut bulan lalu.

Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira didenda dengan jumlah sama selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.

Mereka juga tidak perlu membayar denda kerana sudah menjalani tempoh pemenjaraan di Penjara Wilayah Narathiwat.

Hakim ketika berhujah berkata, tiada bukti yang boleh dikaitkan dengan pemilikan 6,059 biji pil kuda itu dengan keenam-enam tertuduh.

Menurutnya, selain itu, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah hotel di Sungai Golok di sini juga tidak menunjukkan mereka membawa masuk kesemua dadah ke dalam bilik.

“Sebaliknya, ada tiga individu lain yang membawa masuk dadah tersebut ke dalam bilik keenam-enam tertuduh,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peguam tertuduh, Sufian Abdul Aziz ketika ditemui pemberita berkata, Eda Ezrin, suami dan empat rakannya dibebaskan atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda

Menurutnya, bagaimanapun, pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam masa sebulan.

“Buat masa ini, keenam-enam anak guam saya masih belum boleh dibenarkan keluar dan perlu berada dalam penjara sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan.

“Jika tiada rayuan, mereka akan dibenarkan pulang,” katanya.

Sebelum ini, Eda Ezrin, suami dan empat rakan didakwa atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda di Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 14 Januari lalu.

Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah, namun tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok.

Semasa prosiding perbicaraan pada 14 Februari lalu, Eda Ezrin memberi keterangan dengan bantuan jurubahasa bahawa terdapat empat individu dikenali sebagai Nabila, Mek Jue, Mek Da dan Sirik masuk ke dalam biliknya sebelum polis melakukan serbuan.

“Pada awalnya, Nabila dan Mek Ju masuk ke bilik saya kira-kira pukul 3 pagi. Selepas berbual, Mek Ju masuk ke dalam bilik air lebih kurang 15 minit.

“Saya nampak Mek Ju bawa beg galas berwarna biru semasa masuk ke dalam bilik air. Selepas itu, Nabila dan Mek Ju keluar meninggalkan bilik saya,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh peguam.

Eda Ezrin dalam keterangannya berkata, dua lagi individu dikenali sebagai Sirik dan Mek Da turut masuk ke dalam biliknya selepas itu.

Dia melihat Mek Da masuk ke dalam bilik air, manakala Sirik pula berbual dengannya.

“Selepas Mek Da keluar dari bilik air, dia dan Sirik terus meninggal bilik saya. Kira-kira 10 minit kemudian, polis menyerbu bilik saya,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, penyanyi wanita antara enam individu yang ditahan polis Thailand bersama 6,059 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok pada 1 November lalu.

Mereka ditangkap kira-kira pukul 5 pagi ketika berehat di sebuah bilik hotel selepas berhibur di pusat hiburan yang terletak bawah hotel tersebut.

Mereka masuk ke negara jiran untuk berhibur sempena cuti perayaan Deepavali.

Mah­kamah Wilayah Narathiwat memerintahkan permohonan reman selama tiga bulan atau 84 hari ke atas Eda, Mohd. Affendi, Eridieka, Mohamad Alif, Nur Aida, dan Zuhaira. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI