KUALA LUMPUR – Kilang-kilang melupuskan sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi secara haram di negara ini didalangi oleh warga asing.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kilang terbabit menggunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja atau pekerja asing yang menyalahgunakan permit kerja mereka.
“Lokasi premis-premis tersebut berada di kawasan industri dan terdapat juga di luar kawasan industri seperti di tanah rizab, ladang kelapa sawit dan kawasan hutan.
“Premis-premis ini kebanyakannya beroperasi secara haram dan tidak dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) berhubung tindakan tegas kerajaan dalam membanteras penyeludupan e-waste ke dalam negara.
Terdahulu, Nik Nazmi menegaskan, kerajaan memandang serius isu penyeludupan e-waste ke dalam negara.
Menurut beliau, Malaysia tidak membenarkan pengimportan e-waste berdasarkan polisi semasa negara dan Ban Amendment di Bawah Konvensyen Basel.
Jelas beliau, Konvensyen Basel melarang negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengeksport sisa berbahaya dari negara maju ke negara membangun.
Mengulas rampasan 15,764.90 tan metrik e-waste bernilai kira-kira RM55 juta menerusi Op Hazard, katanya, sebanyak 37 premis telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK)
Kata beliau, tindakan itu diambil di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dan sebanyak 59 Notis Arahan serta 27 kompaun turut dikeluarkan.
Beliau berkata, Notis Arahan dan kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“Sebanyak 52 kertas siasatan juga akan dibuka bagi tujuan tindakan mahkamah,” katanya. – KOSMO! ONLINE