BANGKOK – Seorang lelaki di Thailand mengalami ‘mimpi ngeri’ apabila menemui seekor ular berbisa di dalam aiskrim yang dibelinya, lapor portal berita Thaiger semalam.
Kejadian berlaku di wilayah Ratchaburi sebelum dikongsikan di laman Facebook baru-baru ini.
Lelaki tidak didedahkan namanya itu berkata, dia menemui objek berwarna hitam tersembunyi di dalam aiskrimnya.
“Aiskrim ini berperisa kacang hitam dan saya membelinya dari sebuah kedai. Ini situasi sebenar,” demikian menurut keterangan pada imej itu.
Objek disangka kacang hitam itu adalah badan seekor ular berbisa.
Hantaran tersebut tular manakala, sebilangan netizen berkata, ular itu daripada spesies Chrysopelea ornata.
“Resipi baharu, aiskrim berprotein tinggi!” kata seorang netizen.
“Ini sebenarnya bahan utama tetapi tiada orang perasan kerana sisa ular dikisar halus,” kata netizen lain. – AGENSI