PETALING JAYA – Pelakon Mona Allen menasihatkan agar individu yang sudah berkahwin tidak terlalu terbuka berkongsi cerita rumah tangga dalam media sosial.
Mona atau nama penuhnya Munna Hafiraneza Allen, 39, berkata, perkara sebegitu tidak harus dinormalisasikan dalam masyarakat terutama untuk menjadi konten media sosial.
“Sudah jumpa bakal madu, izinkan suami kahwin dua nak tolong pinangkan.
“Ya ampun, tolonglah jangan normalisasikan benda ini boleh?
“Urusan rumah tangga tolong simpan dalam rumah tangga sahaja,” katanya dalam Instagram Story hari ini.
Katanya, hal rumah tangga adalah perkara yang sepatutnya menjadi urusan suami dan isteri sahaja.
Tambah Mona, golongan selebriti juga perlu belajar untuk tidak memberi komen kepada pihak media sekiranya diasak dengan soalan mengenai hal rumah tangga.
“Tidak kisahlah nak pinang madu kedua, ketiga atau keempat sekali pun.
“Simpan rahsia-rahsia rumah tangga boleh tak? Tolong belajar jangan cakap hal rumah tangga kepada umum dan jawab ‘no comment’ bila wartawan tanya.
“Bila buka Instagram, berita (berkaitan rumah tangga) ini ada di mana-mana,” ujarnya.
Isteri kepada aktor Pekin Ibrahim itu bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci luahan tersebut berkaitan dengan isu rumah tangga mana-mana pihak. – KOSMO! ONLINE