MIRI – Seorang lelaki hanya mampu membawa pulang mayat rakannya setelah bot angin yang digunakan mereka untuk memancing di hulu di Sungai Baram di sini karam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 11.22 pagi yang memaklumkan salah seorang mangsa berusia 27 tahun cedera, manakala rakannnya berusia 58 tahun meninggal dunia.
Katanya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lutong yang tiba di lokasi mendapati kedua-dua mangsa berada di jeti berhampiran Rumah Mekar Sungai Putat, Asam Paya, Kuala Baram.
“Pasukan bomba bersama anggota polis yang berada di lokasi membantu mengangkat mayat mangsa ke darat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang menuju ke hulu Sungai Baram untuk memancing, namun semasa dalam perjalanan, bot angin yang dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan lalu karam.
Kedua-dua mangsa terjatuh ke dalam sungai menyebabkan pengendali bot cedera di kepala dan tangan akibat terkena bilah kipas enjin bot Yamaha 30 HP.
“Kedua-dua mangsa kemudian dibantu penduduk rumah panjang yang kebetulan berada di sungai, namun seorang daripada mereka meninggal dunia. Mangsa mengemudi bot ke hilir sungai menuju jeti Rumah Mekar membawa rakannya yang sudah meninggal dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE