JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan seramai 14 lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes merusuh dan khianat di hadapan sebuah pusat sukan di Jalan Austin Heights, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam operasi 12.55 tengah malam hingga 3 pagi tadi, anggota Bahagian D7 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah menahan suspek yang berusia 19 hingga 46 tahun.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi semasa mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia 20 tahun berada dalam kenderaannya jenis pacuan empat roda bersendirian di hadapan Sport Hab.
“Mangsa didatangi sekumpulan individu yang bertindak menyerang serta merosakkan kenderaan mangsa. Mangsa mengalami luka di bahagian siku kanan dan tapak tangan kiri akibat terkena serpihan kaca,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Raub, seramai 10 daripada suspek berkenaan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah, namun hasil saringan ujian air kencing ke atas semua suspek negatif dadah.
“Semua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini. Kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian atau kerosakan harta benda selain Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.-KOSMO! ONLINE