PUTRAJAYA- Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan terdapat insiden kematian di kompleks kementerian berkenaan hari ini.
Menurut kenyataan awal MOF, keluarga mangsa telah dimaklumkan berhubung perkara itu oleh pihak berkuasa.
“MOF turut berdukacita atas kejadian ini dan merakamkan takziah kepada keluarga.
“MOF memberikan kerjasama penuh dan menyerahkan hal ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan,” katanya hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa mengesahkan, pihaknya menerima laporan mengenai seorang pegawai lelaki ditemukan dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dalam Pejabat Perbendaharaan, MOF.
Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya ditugaskan ke tempat kejadian.
Pegawai itu ditemukan dalam keadaan leher dan kaki terjerut dengan pengikat kabel di lantai pejabat tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati si mati dalam keadaan terbaring atas lantai pejabat dengan keadaan leher dan kaki terjerut menggunakan ‘cable tie’ (pengikat kabel).
Mangsa berusia 45 tahun dan merupakan kakitangan jabatan berkenaan. Tiada sebarang unsur jenayah ditemukan di tempat kejadian.
Polis mengklasifikasi kes sebagai kematian mengejut dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE