MIAMI – Bekas Ketua Pasukan Haas, Guenther Steiner menjangkakan Formula Satu (F1) 2025 bakal menjadi medan pertarungan sengit antara Ferrari dan McLaren selain turut meramalkan kejuaraan bakal menyaksikan lebih ramai pemenang berbeza sepanjang tahun ini.
Selepas musim 2024 yang penuh kejutan, McLaren akhirnya menamatkan penantian 26 tahun untuk merangkul gelaran keseluruhan pasukan, menewaskan Ferrari yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Musim baharu bertambah menarik dengan rombakan besar barisan pemandu apabila Lewis Hamilton kini menyarung jentera Ferrari, Liam Lawson dipromosikan ke kerusi utama Red Bull dan remaja sensasi Kimi Antonelli melangkah ke grid bersama Mercedes.
“Saya lihat keempat-empat pasukan utama masih kekal rapat, persis apa yang berlaku hujung tahun lalu. Tapi kalau perlu dua pilihan utama, saya akan pilih Ferrari dan McLaren,” katanya yang kini menjadi duta rasmi Grand Prix (GP) Miami 2025.
Jelas Steiner, kekuatan utama dua pasukan itu terletak pada momentum prestasi hujung musim lalu, selain kestabilan barisan pemandu dengan Red Bull dan Mercedes berdepan cabaran membimbing muka baharu.
“Ferrari dan McLaren tahu apa mereka perlu buat untuk menjadikan kereta mereka pantas. Mereka ada dua pemandu yang cukup berpengalaman.
“Liam (Lawson) mungkin bukan rookie sepenuhnya, tapi dia belum pernah lalui satu musim penuh. Antonelli berbakat besar tetapi perlu lalui proses pembelajaran dalam tekanan perlumbaan sebenar,” tambah Steiner.
Ketika menghitung hari ke GP Miami berlangsung 2 hingga 4 Mei depan, Steiner turut percaya musim 2025 bakal meriah dengan pemenang berbeza di setiap perlumbaan.
“Saya yakin kita akan lihat pelbagai pemenang tahun ini. Saingan kejuaraan akan terlalu rapat, sampai pasukan terpaksa terus fokus membangunkan kereta 2025 mereka lebih lama daripada biasa,” katanya. – AGENSI