INDIAN WELLS – Carlos Alcaraz tiba di Indian Wells dengan misi besar iaitu mahu mencipta sejarah sebagai pemain lelaki ketiga memenangi tiga gelaran berturut-turut kejohanan berprestij tersebut.
Bagaimanapun, perjalanan Alcaraz dijangka penuh dengan cabaran, termasuk kemungkinan bertemu legenda, Novak Djokovic di peringkat suku akhir.
“Saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya. Saya hanya mahu menikmati permainan dan beri yang terbaik,” kata Alcaraz mengenai peluang menyertai kelompok eksklusif yang hanya pernah disertai Djokovic (2014-2016) dan Roger Federer (2004-2006).
Bagi Alcaraz, Indian Wells sentiasa membawa aura istimewa apabila kejohanan berlangsung di tengah padang pasir California itu cukup sinonim dengan magisnya tersendiri.
“Setiap kali saya datang ke sini, saya benar-benar seronok berlatih dan bermain. Semuanya terasa lancar di sini untuk saya,” kata juara bertahan itu.
Meskipun tiba sebagai juara bertahan dua kali, Alcaraz sedar status pilihan kedua di belakang Alexander Zverev bukan jaminan laluan mudah selepas turut membawa bayangan kecewa selepas tersingkir awal di Terbuka Qatar bulan lalu.
Dalam ketiadaan Jannik Sinner yang digantung tiga bulan akibat isu doping, ramai menjangka peluang Alcaraz lebih cerah, namun bintang Sepanyol itu enggan terperangkap dalam spekulasi.
Andai mara ke suku akhir, pertarungan impian menentang Djokovic mungkin menjadi kenyataan dengan juara lima kali Indian Wells itu memiliki rekod kemenangan 5-3 ke atas Alcaraz termasuk kejayaan terbaharu di Terbuka Australia.
Selain Alcaraz dan Djokovic, cabaran turut datang daripada Zverev yang membawa momentum sebagai naib juara Terbuka Australia, sementara Taylor Fritz pula menggalas harapan tuan rumah selaku pilihan ketiga. – AFP