BURIRAM – Pelumba sensasi, Francesco Bagnaia bertekad untuk segera bangkit selepas menamatkan perlumbaan pembuka musim Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Thailand di tempat ketiga, di belakang pasangan adik-beradik, Marc dan Alex Marquez.
Pelumba Ducati itu mengakui prestasinya jauh di bawah jangkaan, malah terpaksa melalui sesi kelayakan pertama (Q1) sebelum hanya mampu melihat Marquez mendominasi perlumbaan utama di Litar Antarabangsa Chang, Buriram baru-baru ini.
“Saya bukan di sini untuk sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketiga,” kata Bagnaia yang jelas kecewa dengan prestasinya.
Menurutnya, pengalaman musim lalu mengajarnya untuk sentiasa mencari keputusan maksimum, namun kali ini dia terpaksa berdepan realiti sukar berikutan masalah teknikal sejak awal minggu perlumbaan.
“Saya cuba urus keadaan. Setiap kali cuba rapatkan jurang dengan mereka, saya berdepan isu dengan bahagian depan motor. Jadi saya ambil pendekatan selamat untuk bawa pulang mata,” katanya.
Masalah tersebut berpunca daripada isu dialaminya sejak sesi ujian di Buriram, menyebabkan Bagnaia terpaksa menggunakan masa latihan untuk menyelesaikan kerja-kerja teknikal yang tertangguh.
Dalam masa sama, Bagnaia turut mendedahkan permainan psikologi daripada Marquez apabila juara dunia lapan kali itu kelihatan sengaja memperlahankan rentak sebelum tiba-tiba melarikan diri di penghujung perlumbaan.
“Saya rasa Marquez ‘bermain’ dengan kami hari ini. Konon ada isu tekanan tayar, tapi bila dia mula tekan betul-betul, dalam tiga pusingan saja dia dah tinggalkan saya 2.3 saat,” katanya.
Bagnaia mengakui perlu segera mencari jalan untuk menutup jurang dengan Marquez menjelang dua pusingan berikutnya di Argentina dan Amerika Syarikat yang dianggap sebagai ‘litar kegemaran’ bintang Sepanyol itu. – AGENSI