TIADA istilah berputus asa dalam kamus hidup pemain beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin apabila masih melaungkan keazaman untuk memburu kejuaraan meskipun berdepan prestasi tidak menentu ketika ini.
Dia yang bergandingan dengan Teo Ee Yi kini bekerja keras mempersiapkan diri menghadapi Kejohanan Badminton All England di Birmingham bermula 11 hingga 16 Mac nanti.
Yew Sin berkata, belum ada terlintas di fikiran untuk mengundurkan diri ataupun menggantung raket, sebaliknya percaya mereka akan kembali bangkit dalam usaha meraih kejuaraan.
“Sudah tentu saya masih mengharapkan kemenangan dan melakukan yang terbaik dalam karier badminton tetapi kita tunggu dan lihat nanti. Jika tidak ada motivasi, sudah pasti kami berdua sudah berhenti,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, nasib tidak menyebelahi beregu No. 30 dunia itu apabila berdepan aksi tidak menentu gara-gara masalah kecederaan selain tidak layak beraksi pada Sukan Olimpik Paris tahun lalu.
Justeru, Yew Sin menyuarakan hasrat dia dan Ee Yi akan berusaha sedaya upaya untuk mara ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028), namun ia bergantung kepada prestasi mereka dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Sekiranya kami tidak beraksi dengan baik ataupun mengalami kecederaan, mungkin tidak akan teruskan (buru tempat ke LA 2028). Setakat ini kami masih ada api perjuangan itu,” ujarnya.
Setakat musim ini, bekas gandingan No. 6 dunia itu hanya beraksi dalam tiga kejohanan pada Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Indonesia Masters dengan pencapaian terbaik layak ke suku akhir Terbuka Malaysia.
Mereka juga masih menjalani latihan di bawah bimbingan Teo Kok Siang selepas jurulatih sebelum ini, Rosman Razak menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada November lalu sebagai ketua jurulatih beregu wanita.