fbpx

“Insya-Allah, seruan untuk ‘berehat’ akan tiba”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADIYA mengakui masih menyimpan hasrat untuk bersara daripada dunia seni tanah air namun bukan dalam masa terdekat. –  FIRDAUS JOHARI

MENITI hampir dua dekad dalam dunia seni, nama Nadiya Nisaa terus mekar sebagai aktres berbakat besar.

Dia seorang pelakon yang tidak pernah mengejar glamor, tetapi lakonannya sentiasa berbisa. Setiap karakter yang dijayakan disulami dengan sepenuh hati. 

Namun, di sebalik senyumannya, siapa menyangka dia pernah berada di persimpangan dilema antara meneruskan perjuangan atau mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni.

Pemilik nama sebenar Nadiyatul Nisaa Kamaruddin itu pernah berhasrat melangkah pergi, bukan kerana bosan, tetapi hati mula lelah dengan naskhah yang seakan-akan berputar dalam konteks sama.

Bagaimanapun dia tetap memilih untuk terus bertahan. Keyakinan bahawa masih ada naskhah berkualiti yang seiring dengan bakatnya membuatkan dia menangguhkan hasrat tersebut.

Pun begitu, pelakon berusia 40 tahun ini tidak menolak kemungkinan berehat seketika, cuma bukan dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, hasrat untuk berehat itu masih ada. Tapi buat masa sekarang, masih ada komitmen yang perlu diselesaikan sehingga bulan Jun.

“Selepas itu, insya-Allah ‘seruan’ untuk berehat akan tiba,” katanya kepada kepada HibGlam.

Jika sebelum ini bulan Ramadan menjadi ruang untuk berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga, kali ini ceritanya berbeza.

Untuk pertama kali sepanjang karier, pelakon drama SeOfis itu bakal membintangi sebuah drama dalam slot Akasia siaran TV3.

Nadiya kini muncul dengan filem terbaharu berjudul Polong yang merupakan sebuah naskhah bergenre seram.

Biarpun terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga, Nadiya melihat peluang ini sebagai sesuatu yang harus dimanfaatkan sebaiknya.

“Selama ini, saya selalu kosongkan jadual pada bulan Ramadan. Tapi tahun ini, buat pertama kali saya akan masuk set penggambaran untuk sebuah drama slot Akasia.

“Menariknya, ini juga pengalaman pertama saya terlibat dalam drama untuk slot tersebut sepanjang karier lakonan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Polong, baru-baru ini.

Polong, ujian keberanian

Mengulas penglibatannya dalam naskhah seram berkenaan, Nadiya akui seorang yang lemah semangat, namun mencabar diri untuk berlakon dalam naskhah seram kedua selepas Harum Malam.

“Saya memang penakut, jadi saya tidak mahu masuk dalam dunia itu.

“Tapi selepas pengalaman pertama bersama dengan pengarah Harum Malam, Dain Said, saya terasa lebih selesa.

“Dain juga berjanji menyediakan persekitaran yang selamat semasa sesi penggambaran,” dedahnya.

Keputusan untuk terlibat dalam Polong juga dibuat kerana keyakinannya terhadap kredibiliti pengarah Zulkarnain Azhar.

“Saya terima bukan sahaja sebab kenal secara peribadi tetapi sebab karya mereka. Saya tahu cerita ini bukan sekadar hiburan tetapi ada nilai dan kualiti,” luahnya.

Bercerita tentang pengalaman mistik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 itu bersyukur kerana belum pernah mengalami kejadian menyeramkan di set penggambaran.

“Tiada pengalaman. Tetapi memang lahir sahaja terus jadi seorang penakut.

“Bila sudah tahu diri seorang yang lemah semangat, kita tidak mahu bermain dengan benda sebegitu. Saya juga tidak tengok sangat filem seram, takut terbawa-bawa,” tuturnya.

Berbajet RM3 juta, Polong bakal menjalani penggambaran di tiga negeri Selangor, Melaka dan Johor Bahru yang bermula Mei ini.

Naskhah tersebut juga turut dibintangi pelakon hebat seperti Mimi Lana, Nam Ron, June Lojong dan Fad Anuar. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI