fbpx

Keluarga turut marah Pak Azad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR -Enam kakitangan stesen radio Era FM termasuk tiga penyampai segmen 3 Pagi Era memberi keterangan di Bukit Aman di sini semalam berhubung isu mempersenda upacara agama Hindu.

Tiga penyampai radio itu ialah Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir.

Keterangan enam kakitangan Era FM itu direkodkan oleh pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Sementara itu, Azad atau nama sebenarnya, Azad @ Jazmin John Louis Jefri, 49, berharap orang ramai dapat memaafkan tindakannya yang mengguris hati masyarakat India termasuk ahli keluarganya sendiri.

“Sebenarnya, saya buat video khas ini untuk kawan-kawan, keluarga dan peminat berbangsa India. Ya salah tetap salah, jadi saya nak minta maaf kepada semua peminat dan mereka yang berbangsa India.

“Kami sudah membuat permohonan maaf secara terbuka dan berharap agar kawan-kawan dan keluarga saya yang berbangsa India sudi memaafkan kami,” katanya.

Mesra dipanggil Pak Azad, lelaki itu berkata, rata-rata ahli keluarganya yang berdarah India turut kesal atas perbuatan tersebut.

“Sejujurnya, saya mempunyai darah keturunan India di mana arwah bapa saya berbangsa India yang memeluk Islam. Ramai ahli keluarga saya marah sebab mereka anggap tindakan kami sangat tidak sopan,” jelasnya.

Dalam pada itu, pihak Astro Audio memaklumkan, kekosongan penyampai segmen 3 Pagi Era diisi oleh Munabella dan Namie, namun tidak menyatakan sama ada lantikan itu adalah kekal atau sebaliknya.

Difahamkan, Munabella sebelum ini mengendalikan segmen Chingu Era pada setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 8 malam. Namie pula penyampai slot Sabtu Pagi Era pada pukul 7 hingga 10 pagi bersama Hawa Rizwana.

Era juga mengeluarkan permohonan maaf dan kesal susulan video kontroversi tersebut.

“Kami di Astro Audio melahirkan rasa kekesalan dengan insiden yang telah menyakitkan dan mengundang kekecewaan pelbagai pihak melibatkan tiga penyampai radio Era. Kami amat menghargai maklum balas, teguran dan nasihat daripada pelbagai pihak.

“Kami akan memastikan setiap kandungan disiarkan mematuhi kesemua garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dipetik berkata, setakat ini pihaknya menerima sebanyak 44 laporan polis yang dibuat di seluruh negara berhubung isu tersebut.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kosmo! semalam melaporkan polis mengesahkan pihak berkuasa itu menjalankan siasatan terhadap kakitangan stesen radio Era FM berhubung video tular yang didakwa mempersenda upacara agama lain di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI