fbpx

Planworth tawar akses modal pusingan kepada ahli PKMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Rosdi (kiri) dan Kuek Andy menunjukkan dokumen selepas majlis pemeteraian MoU di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Planworth Global Factoring (Planworth) untuk membantu menyelesaikan cabaran berkaitan modal pu­singan yang dihadapi kontraktor khususnya yang bersaiz kecil dan sederhana.

Presiden PKMM, Datuk Mohd. Rosdi Ab Aziz berkata, melalui kerjasama tersebut, ia bakal memberi manfaat kepada lebih 60,000 ahli PKMM dan kontraktor lain di seluruh negara.

“Kami sedar kontraktor baharu kini agak sukar untuk mendapatkan pinjaman secara konvensional melalui bank.

“Mereka sering berdepan cabaran untuk mendapatkan modal mudah cair untuk melaksanakan projek, termasuk projek kerajaan.

“Dengan adanya kerjasama ini, ahli PKMM akan mendapat akses kepada pembiayaan yang lebih cepat dan fleksibel sekali gus akan membolehkan mereka terus berkembang dalam industri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis menandatangani MoU bersama Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Kuek Andy di ibu pejabat Planworth di sini baru-baru ini.

Mohd. Rosdi menerangkan, PKMM telah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap beberapa syarikat pemfaktoran sebelum memilih Planworth kerana keupayaannya dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang cekap dan menyeluruh.

Selain itu, Andy menerangkan, sebagai alternatif kepada pinjaman konvensional, Planworth menyediakan pembiayaan melalui pembiayaan invois bagi membolehkan kontraktor me­nerima sehingga 80 peratus daripada nilai invois tanpa sebarang cagaran.

“Jika jumlah tersebut tidak mencukupi, kami juga menawarkan pembiayaan pesanan belian (PO) untuk membayar pembekal secara langsung, serta kemudahan modal kerja atau term loan.

“Selain itu, Planworth turut mengeluarkan surat sokongan kewangan bagi membantu kontraktor mengukuhkan kredibiliti mereka ketika membida tender.

“Surat ini sangat popular dalam kalangan kontraktor dan peniaga dalam industri lain ke­rana ia dapat meningkatkan kepercayaan pihak berkepentingan,” katanya.

Tambah beliau, selain pem­biayaan dalaman, Planworth juga mempunyai akses kepada kemudahan perbankan daripada beberapa institusi kewangan terkemuka bagi memastikan kelancaran penyediaan dana kepada kontraktor.

“Proses kelulusan dan perolehan dana secara purata hanya mengambil masa seminggu selepas dokumen lengkap diterima.

“Planworth juga terbuka untuk membiayai kontraktor dari semua kategori, iaitu G1 hingga G7,” terang beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI