SEREMBAN – Isu pembuangan bangkai babi dan dibawa ke Port Dickson tidak berkesudahan apabila insiden yang sama berulang kembali selepas kerajaan negeri menerima satu lagi laporan berhubung insiden terbabit.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, maklumat yang diterima daripada aduan kali ini mendapati sebanyak 100 ekor bangkai babi dikesan telah dibuang dari negeri jiran ke tanah persendirian di kawasan Pig Farming Area (PFA) dekat Bukit Pelandok.
“Kawasan tersebut berhampiran dengan Kampung Baru Site A yang sebelum ini dilaporkan insiden sama berlaku.
“Pada hari ini saya mendapat maklumat ada lagi 100 ekor bangkai babi dibuang di tanah persendirian kawasan kelapa sawit di PFA. Tidak ada pemeliharan babi di PFA, tetapi dihantar ke negeri ini.
“Berikutan itu, saya mengarahkan penguatkuasaan tegas dilakukan bagi mengekang isu tersebut daripada berterusan.
“Saya harap pihak berwajib seperti jabatan veterina, pihak polis supaya memberi perhatian insiden ini dengan penguatkuasaan diambil. Inisiden sebegini akan beri kesan tidak baik kepada tuan tanah dan bagi mengelakkan menjadi tempat pembuangan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.