KUALA LUMPUR- Tell sebuah syarikat produksi teknikal dari London, komited memperluaskan perkhidmatannya ke Asia Tenggara dengan manjadikan Kuala Lumpur sebagai hab utama di rantau ini.
Pengarah Syarikat dan Pengasas Tell, Tom Ellis berkata, ini kerana pihaknya melihat ruang dan peluang diperoleh di negara ini bersesuaian dengan visi syarikat untuk mencipta pengalaman menerusi produksi teknikal yang berinovasi.
Katanya, syarikat telah menghabiskan sekitar RM120,000 untuk membuka pejabat baharu di sini yang dilengkapi dengan peralatan studio dan teknologi terkini.
“Dalam perkhidmatan ini, kami hanya memfokuskan kepada segmen sukan supaya lebih mudah untuk pihak kami mengawal siaran,” katanya kepada Kosmo! dalam Majlis Pelancaran Pejabat Tell pertama di Asia Tenggara, di sini baru-baru ini.
Ellis menerangkan, Tell mengutamakan penggunaan teknologi yang cekap termasuk kit penyiaran flyaway dan hab produksi jarak jauh berskala bersama pengekodan 5G yang terkini untuk kualiti perkhidmatan yang terbaik.
Katanya, syarikat berpengalaman luas dalam bidang perkhidmatan dan penyelesaian teknikal termasuk pengurusan lancar, penyediaan krew pakar dan kit inovatif untuk produksi jarah jauh dan penyiaran, strem langsung dan pengedaran serta penyampaian sukan dan grafik.
Selain itu, Ellis menjelaskan, syarikat kini menyasarkan untuk memperluaskan lagi perkhidmatan ke Indonesia dan Thailand dalam masa terdekat. -KOSMO! ONLINE