PARIT BUNTAR – Hasrat sepasang suami isteri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah anak perempuan mereka di Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila kedua-duanya terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pantai, Batu 9, Tanjung Piandang di Kuala Kurau hari ini.
Lebih menyedihkan lagi, kedua-duanya iaitu Baharudin Ahmad, 59, dan isterinya, Wan Saniah W.Ismail, 66, baru pulang dari mengerjakan umrah di Mekah, Arab Saudi dua minggu lalu.
Kedua-duanya terkorban apabila Perodua Kelisa dinaiki mereka terlibat kemalangan kira-kira pukul 7.25 pagi dengan sebuah Honda City, dengan anak angkat pasangan itu yang berusia 13 tahun turut cedera dalam insiden tersebut.
Adik Baharudin, Abdul Halim, 51 berkata, dia mendapat tahu daripada kawan-kawannya mengenai insiden yang menimpa abang dan kakak iparnya itu ketika di berada di tempat kerja di Jawi.
“Sekitar pukul 10 pagi, barulah dimaklumkan bahawa kedua-duanya telah meninggal dunia di tempat kejadian dan anak angkatnya mengalami parah di bahagian muka dan patah sebelah kakinya.
“Dia kini sedang dirawat di Bahagian Kecemasan Hospital Parit Buntar,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan ziarah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau dan ADUN Titi Serong di Bahagian Forensik Hospital Parit Buntar di sini hari ini.
Menurut Abdul Halim, kali terakhir dia bertemu dengan abangnya ialah kira-kira dua minggu lalu di sebuah majlis kenduri ahli keluarga mereka yang diadakan di Bandar Baharu, Kedah. – KOSMO! ONLINE