SHAH ALAM – Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM1,600, tahun lalu.
Tertuduh, Razul Anak Petrus Noyed, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Razul sebagai anggota polis yang bertugas di sebuah balai polis di daerah Petaling Jaya telah bersetuju menerima wang tunai keseluruhan RM1,600 tanpa balasan daripada seorang individu yang mana diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.
Wang tersebut dilakukan menerusi pemindahan antara akaun bank mereka di sebuah bank di Kajang pada 9 Mei dan 5 Jun 2024. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali, manakala tertuduh diwakili Mahmud Jumaat.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada minggu pertama setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan 24 April depan. – KOSMO! ONLINE