fbpx

Dewan Negara: Buang sekolah jika dapati hisap vape – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina ketika menjawab soalan di Dewan Negara hari ini. - JAPEN

KUALA LUMPUR – Mana-mana pelajar yang didapati melakukan kesalahan berulang menghisap vape atau rokok elektronik di sekolah boleh digantung 14 hari persekolahan atau dibuang sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, itu merupakan bentuk ketegasan diambil Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membendung isu penggunaan vape di sekolah sepertimana ditetapkan menerusi Surat Siaran Bilangan 17 Tahun 2015 yang melarang penggunaan peranti tersebut.

“Tindakan gantung dan buang sekolah itu diambil selepas amaran diberikan kepada pelajar berkaitan, termasuk memanggil ibu bapa mereka bagi menghadiri sesi konsultasi.

“Harus ada amaran dan mereka akan dipanggil, ibu bapanya juga untuk konsultasi. Kemudian dia kena melengkapkan borang aku janji untuk tidak melakukan kesalahan ini lagi.

“Kemudian, sekiranya mereka (pelajar) masih ingkar dan mengulangi perbuatan ini, maka dia boleh digantung sekolah selama 14 hari persekolahan yang tidak melibatkan peperiksaan awam dan ketegasan kita adalah sehingga tahap mereka juga boleh dibuang sekolah.

“Kita menganggap tindakan melibatkan diri dengan gejala vape ini adalah sangat serius,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.

Tambah Fadhlina, beliau percaya usaha paling berkesan bagi mengawal penularan kebejatan sosial ini adalah melalui pendidikan pencegahan seperti program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa).

“Program ini dilaksanakan melalui kurikulum, kokurikulum dan aktiviti pembangunan sahsiah pelajar yang mana pelajar didedahkan kepada bahaya vape, serta dilatih untuk menjadi duta sahsiah yang membantu rakan sebaya menjauhi gejala negatif,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI