KLUANG – Kecuaian ketika memotong sebuah treler dipercayai menjadi punca kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres yang membawa 20 penumpang dalam kejadian di Kilometer 61.9 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, 14 penumpang termasuk pemandu bas ekspres berkenaan mengalami kecederaan dengan empat daripadanya tersepit di tempat duduk masing-masing.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd. Azmi Hussin berkata, kejadian dilaporkan berlaku melibatkan sebuah bas ekspres jenis Scania dan sebuah treler jenis Volvo FM12.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua kenderaan berkenaan yang datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru.
“Ketika bas ekspres yang dipandu lelaki berusia 44 tahun cuba memotong sebuah treler di hadapannya, bas berkenaan telah melanggar bahagian kanan treler sehingga menyebabkan kerosakan teruk di bahagian kiri bas dan belakang lori.
“Akibat kejadian itu, pemandu bas telah mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri dan sakit di bahagian perut selain 13 lagi penumpang turut mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Nik Mohd Azmi lagi, pemandu bas serta dua lagi penumpang berusia 23 dan 33 tahun telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan.
Ujarnya, 11 lagi penumpang termasuk seorang warga emas berusia 73 tahun dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang bagi mendapatkan rawatan. – KOSMO! ONLINE