KUALA LUMPUR – Penyampai 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Radin Amir dan Azad Jasmin selesai memberi keterangan selama lebih dua jam di Bukit Aman hari ini berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.
Mereka tiba sekitar pukul 10.30 pagi dan meninggalkan pekarangan ibu pejabat polis itu pada 1.10 tengah hari menaiki Toyota Vellfire hitam tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada media.
Selain penyampai-penyampai program itu, tiga lagi kakitangan Era FM juga turut beredar.
Difahamkan, keterangan mereka dirakam oleh pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
Semalam, video permohonan maaf daripada mereka tular selepas insiden mempersenda tarian kavadi Hindu ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan mencetuskan kontroversi.
Video asal yang kini sudah diturunkan daripada platform media sosial stesen berkenaan memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi sambil menyebut ‘Vel, Vel’ sebelum disusuli gelak tawa rakan lain.
Klip itu mencetuskan kritikan meluas kerana dilihat tidak menghormati sensitiviti agama lain.
Polis mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE