fbpx

5 keldai akaun ditahan babit pelaburan forex TriumphFX

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli ketika sidang akbar di Menara KPJ hari ini. - Foto oleh M FIRDAUS M JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai lima individu disyaki pemilik keldai akaun ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan penipuan pelaburan forex TriumphFX.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua individu berusia dalam lingkungan 30-an ditahan tahun lalu dan awal tahun ini.

“Pasukan penyiasat sedang mengesan suspek utama kes ini.

“Justeru, tidak timbul isu bahawa pihak polis tidak menyiasat skim pelaburan ini, ” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 80 laporan dengan kerugian lebih RM24.81 juta direkodkan berkaitan penipuan pelaburan itu.

“Siasatan setakat ini mendedahkan skim pelaburan yang kononnya berasaskan urus niaga tukaran wang asing (forex) dimulakan sekitar tahun 2019 lagi dengan menjanjikan keuntungan sebanyak tujuh peratus sebulan.

“Pelabur yang berminat dikehendaki memuat turun aplikasi pelaburan yang ditetapkan dan mereka boleh memantau serta melihat prestasi pelaburan tersebut,” jelasnya.

Katanya, masalah mula timbul apabila syarikat tersebut telah menukar pelaburan mereka kepada pelaburan kripto tanpa persetujuan pihak pelabur.

Bukan itu sahaja, pelabur juga hanya dapat melihat paparan keuntungan dari aplikasi tanpa boleh mengeluarkan wang tersebut.

“Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan,” katanya.

Ramli berkata, orang ramai dinasihatkan melakukan semakan sewajarnya sebelum melabur.

“Para pelabur perlu memastikan syarikat tersebut dilesenkan oleh agensi kerajaan yang berkaitan seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat pembayaran pertama.

“Ini penting bagi memastikan pelaburan anda selamat dan dilindungi di bawah undang-undang di negara ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seramai 77 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pelaburan yang dipercayai didalangi rakyat tempatan dengan menggunakan kira-kira 30 syarikat berperanan sebagai ‘local depositor’.

Mangsa mendakwa syarikat terbabit berdaftar di Seychelles, Afrika, mencari mangsa melalui ejen dan wakil-wakil syarikat dan membuat penerangan secara dalam talian dengan menjanjikan pulangan sebanyak tujuh peratus sebulan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI