GUA MUSANG – Dua ekor anjing Unit Pengesan K9 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan ditempatkan di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Tanah Putih di sini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, dua ekor anjing pengesan itu ditempatkan SJR tersebut yang merupakan jalan utama memasuki negeri ini untuk mengesan aktiviti penyeludupan dadah dan senjata api.
Katanya, penggunaan anjing K9 itu bukan sahaja untuk penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah wabak Covid-19, malah ia juga digubakan untuk mencegah kegiatan jenayah.
“Di SJR ini, kita akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertugas memeriksa kenderaan perdagangan dan mengesan kesalahan pengguna jalan raya.
“Kami akan terus mempertingkatkan kawalan di dua SJR memasuki negeri ini iaitu di laluan Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan Jalan Gua Musang-Lojing,” katanya selepas meninjau SJR di Kampung Tanah Putih di sini hari ini.-K! ONLINE