GEORGE TOWN – Penduduk di sebuah pangsapuri di Bukit Jambul di sini gempar dengan penemuan sebuah beg berisi sejumlah peluru hidup dan kosong jenis kaliber 22 di kawasan tempat pembuangan sampah, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan bahan letupan itu daripada orang awam kira-kira pukul 1.40 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah beg telah ditinggalkan di kawasan tersebut oleh individu yang tidak dikenali.
”Beg ini mengandungi peluru jenis kaliber .22 yang kosong termasuk yang masih hidup,” katanya di sini malam ini.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan pihak polis sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti pemilik serta motif di sebalik penemuan berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Aishah Izati Zaidi di talian 011-21544465. -KOSMO! ONLINE