TAPAH – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) antara gabungan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan telah mempunyai keserasian bekerjasama bagi memenangkan calon-calon masing-masing dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Pengerusi UMNO dan BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, PRK Mahkota itu telah membuktikan PH turut sama turun padang bagi meraih undi penyokong mereka bagi memenangkan calon BN dengan majoriti yang besar.
“Berdasarkan pattern (corak) pengundi (PRU-15 DUN Ayer Kuning) lebih 9,000 pengundi mengundi BN dan lebih 6,000 mengundi PH jadi lebih 15,000.
“Kita sepakat kerjasama mengulangi di Mahkota (PRK DUN Ayer Kuning). BN kerja keras tarik pengundi dan PH buat yang sama bagi kemenangan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Pimpinan BN dan PH di Bangunan UMNO Tapah di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi menewaskan empat calon lain masing-masing dari Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.- KOSMO! ONLINE