PETALING JAYA- Perdana Menteri memberi teguran kepada semua pihak dan menegaskan bahawa tindakan atau pertuturan yang menyentuh isu 3R (Raja, bangsa dan agama) hanya akan menggugat keharmonian negara dan tidak seharusnya berulang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya mengingatkan semua agar elakkan polemik 3R dalam sebarang bentuk kenyataan atau tindakan, serta mengutamakan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang dalam hidup bermasyarakat.
Perkara itu disampaikan melalui Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah hari ini.
“Perdana Menteri juga menekankan kepentingan seluruh rakyat untuk mendakap kemas prinsip Rukun Negara selaku asas perpaduan yang harus dihayati dan diamalkan untuk kita bersama mempertahan keharmonian serta menolak usaha dan tindakan yang boleh memecah belah perpaduan nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian susukan perkara yang menjadi tumpuan ketika ini berkenaan tindakan pihak tertentu yang telah menyinggung sensitiviti penganut agama lain. – KOSMO! ONLINE.