BAITULMAQDIS – Hampir 80,000 rakyat Palestin menunaikan solat Isyak dan Tarawih pada malam keempat bulan suci Ramadan di Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis di sebalik sekatan oleh pasukan keselamatan Israel, lapor portal berita Arab News semalam.
Jabatan Hal Ehwal Wakaf dan Masjid Al-Aqsa Baitulmuqaddis yang bertanggungjawab mentadbir masjid itu menyatakan, kebanyakan mereka ialah penduduk Baitulmuqaddis dan warga Israel berketurunan Palestin.
Namun, beribu-ribu rakyat Palestin dari bandar dan pekan di Tebing Barat yang diduduki, dilarang memasuki Baitulmuqaddis melalui pusat pemeriksaan tentera Israel, tambahnya.
Ini kerana Israel melaksanakan langkah sekatan keselamatan baharu semasa bulan Ramadan.
Pada Isnin lalu, polis tentera Israel menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa dan menahan tiga individu, demikian menurut agensi berita Palestin, WAFA.
Israel juga mengerahkan pasukan keselamatan tambahan di Kota Lama Baitulmuqaddis Timur pada hujung minggu lalu. – AGENSI