fbpx

Purata gaji graduan Singapura cecah RM15,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Graduan universiti di Singapura menerima purata gaji bulanan yang lebih tinggi pada 2024. - AFP

SINGAPURA  – Satu kajian mendapati purata gaji bulanan kasar bagi graduan di Singapura yang mendapat pekerjaan sepenuh masa dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian meningkat 4.24 peratus tahun ke tahun, lapor laman berita VNExpress semalam.

Ia meningkat kepada SG$4,500 (RM15,000) pada 2024.

Bagaimanapun, Kajian Pekerjaan Siswazah Universiti Autonomi Bersama 2024 yang diterbitkan  itu mendapati peratusan graduan yang memperoleh jawatan sepenuh masa dalam jangka masa tersebut merosot kepada 79.5 peratus berbanding 84.1 peratus pada 2023.

Kajian dilakukan oleh lima universiti di negara Kota Singa tersebut iaitu Universiti Nasional Singapura, Universiti Teknologi Nanyang, Universiti Pengurusan Singapura, Universiti Sains Sosial Singapura serta Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura.

Hasilnya mendapati, kadar graduan mendapat pekerjaan merosot merentasi berbilang industri pada tahun lalu di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global dan permintaan pengambilan kakitangan lebih lemah.

Graduan sains kesihatan mengalami penurunan paling teruk, dengan 91.2 peratus memperoleh pekerjaan sejurus selepas tamat pengajian pada 2024, turun daripada 97.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Peratusan graduan menganggur, termasuk mereka yang sedang mencari pekerjaan secara aktif atau bersedia untuk memulakan kerja atau perniagaan, meningkat kepada 12.9 peratus berbanding 10.4 peratus pada 2023.

Selain itu, graduan teknologi maklumat dan digital memperoleh median gaji bulanan tertinggi pada SG$5,600 (RM19,000), meningkat daripada SG$5,500 (RM18,000) pada 2023.

Sektor perniagaan menyaksikan pertumbuhan gaji terbesar dengan mencatatkan kenaikan daripada SG$4,150 (RM14,000) pada 2023 kepada SG$4,400 (RM15,000) pada 2024.

Sebaliknya, gaji untuk graduan seni, reka bentuk dan media mencatatkan kenaikan terkecil iaitu daripada SG$3,740 (RM12,000) kepada SG$3,800 (RM13,000) dalam tempoh sama. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI