fbpx

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 lulus dengan sokongan majoriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. Foto JAPEN

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 diluluskan Dewan Rakyat hari ini bagi membolehkan kerajaan mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

Pindaan RUU itu diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen menerusi undian belah bahagian, di mana 148 undi menyokong, 57 tidak mengundi dan 17 tidak hadir.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 sebelum ini dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada minggu lalu, diikuti pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.

Sebelum itu, RUU berkenaan dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 56 dan Perkara 57 dengan memasukkan Fasal baharu (5A).

Fasal itu menyatakan seseorang yang dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat atau Timbalan Yang Dipertua tidak hilang kelayakan memegang jawatan oleh sebab keahliannya dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen yang ditubuhkan di bawah undang-undang Persekutuan, dengan syarat ahli yang dipilih berkenaan tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

RUU itu juga bertujuan meminda Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan peruntukan bagi pelantikan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertuan Agong yang boleh dilantik dalam kalangan atau bukan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan.

Dengan kelulusan itu, maka RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang kini di peringkat bacaan kali pertama, boleh diteruskan untuk bacaan kali kedua seterusnya dibahaskan oleh Ahli Parlimen.

Perbahasan dijadual berlangsung hari ini dan bersambung esok untuk kelulusan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI