PUTRAJAYA- Perbuatan jijik seorang wanita yang melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 13 tahun yang juga anak jirannya dua tahun lalu, membawa padah apabila dia dipenjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Datin M.Kunasundary menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan tertuduh yang berusia 36 tahun itu gagal menimbulkan keraguan munasabah diakhir pembelaan kes itu.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum iaitu hari ini selain tertuduh diperintah menjalani kauseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama setahun selepas tamat tempoh penjara.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan ibu tunggal itu didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun (semasa kejadian) bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di daerah Petaling pukul 5 petang pada 26 Mei 2023 yang didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.
Terdahulu tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Malaysia (YBGK) memohon hukuman ringan kerana tertuduh merupakan ibu tunggal selain menanggung dua anak masing-masing berusia 15 tahun dan 11 tahun.
“Tertuduh hanya bekerja sebagai juruwang dengan gaji RM1,800 dan ini kesalahan pertamanya,” kata peguam itu.
Mendengar rayuan itu Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan memgambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh sendiri.
“Sebagai orang dewasa dan ibu kepada kawan mangsa dan orang yang dipercayai tidak sepatutnya tertuduh melakukan perbuatan kutuk itu kepada anak jirannya, ” kata Norhana. – KOSMO! ONLINE.