KUALA SELANGOR – Seorang lelaki ditangkap bagi membantu siasatan berhubung kekecohan termasuk ugutan jenayah ketika berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor.
Ketua Polis Kuala Selangor, Superintendan Azharudin Tajudin berkata, suspek berusia 45 tahun tersebut ditangkap kira-kira 4.15 petang semalam di sekitar daerah ini.
“Penahanan lelaki bagi membantu siasatan kes tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Siasatan masih dijalankan sama ada suspek terlibat dengan kongsi gelap,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan menerima laporan polis daripada seorang wanita yang hadir dalam MATC pada Sabtu lalu yang menyatakan telah menerima ugutan daripada seorang lelaki yang menyatakan ‘angkat parang’ kepada pengadu.
Tidak tamat di situ, lelaki tersebut telah datang ke arah pengadu dan membuat provokasi. Insiden kekecohan tersebut tular menerusi beberapa video di laman sosial. – KOSMO! ONLINE