SEREMBAN – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menyasarkan kutipan RM8 juta wakaf dapat dikumpulkan pada tahun ini, yang diterima daripada 25,000 kakitangan kerajaan melalui potongan gaji.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir berkata, pihaknya optimis sasaran peningkatan kutipan wakaf itu mampu dicapai tahun ini berdasarkan kepada pelarasan gaji dalam kalangan penjawat awam.
Katanya, berdasarkan rekod tahun lepas, jumlah kutipan wakaf ain yang telah berjaya diperolehi adalah sebanyak RM5,567,948.73.
“Selain penerimaan melalui potongan gaji daripada kakitangan kerajaan dan swasta, selebihnya adalah daripada masyarakat yang berwakaf melalui online banking, tabung wakaf dan secara tunai di kaunter daerah MAINS.
“Agihan wakaf oleh MAINS merangkumi empat sektor utama iaitu Pendidikan, Kesihatan, Sosioekonomi, dan Pengembangan Harta. Melalui inisiatif ini, MAINS berperanan dalam menyalurkan manfaat kepada yang memerlukan,” katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan 2025 di Seremban di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE