fbpx

Ahli Parlimen Langkawi cadang satu pulau khas anjing diwujudkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Suhaimi Abdullah mencadangkan agar satu pulau khas dikhususkan untuk anjing-anjing berkeliaran di Langkawi.

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah mencadangkan agar satu pulau khas dikhususkan untuk anjing-anjing berkeliaran di Langkawi.

Beliau berkata, pulau itu juga boleh menempatkan pelbagai fasiliti veterinar untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan tersebut sekali gus menjadi satu tarikan di Langkawi.

Ujarnya, masalah anjing yang berkeliaran di Langkawi telah dibawa sejak Mac 2023 dalam perbahasan di Parlimen dimana beliau sudah menggesa pencinta haiwan untuk datang ke pulau itu dan mengambil anjing-anjing tersebut.

“Pihak Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) telah bertindak cermat dengan membina kandang-kandang. Anjing-anjing ini ditangkap dan dikasi tetapi tidak ditidurkan kerana bangkangan daripada pencinta haiwan.

“Pada September 2023, saya sekali lagi membawa isu ini ke dalam dewan dengan memaklumkan bahawa anjing liar ini hampir setiap minggu menggigit pelancong. Tetapi laporan kes-kes ini tidak diperbesarkan kerana mahu menjaga reputasi Langkawi sebagai pusat pelancongan,” katanya dalam satu sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Tambah Mohd. Shuhaimi, walaupun pihak MPL telah bertindak mengikut bidang kuasa, Langkawi menghadapi masalah kekurangan dana untuk terus menyimpan anjing-anjing ini.

“Isu ini turut dibawa ke Kamar Khas Parlimen pada 29 November 2023. Data daripada laporan pihak polis menunjukkan 20 kes gigitan anjing antara 2020 hingga 2023, dan Data Kes Notifikasi Gigitan Anjing Liar dan Haiwan Liar Jabatan Kesihatan menunjukkan 16 serangan anjing liar antara 2020 hingga 2023.

“Pada tahun 2022, sebanyak 455 ekor anjing ditangkap pada 2022 dan 440 ekor ditangkap pada 2023. Namun ada anjing-anjing yang diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan telah dilepaskan semula.

“Justeru, saya mencadangkan agar satu pulau khas dikhususkan untuk anjing-anjing ini yang mana ia boleh dijaga dengan kerjasama NGO dan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki cedera parah di kepala dan luka seluruh badan akibat diserang sekumpulan anjing liar dekat rumahnya di Kampung Dedek, Sungai Menghulu, Langkawi, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa berusia empat tahun itu diserang kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Kanak-kanak terbabit dikelilingi dan diserang sekumpulan anjing berdekatan rumahnya dekat tapak perkuburan baharu Masjid Aishah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI