KUANTAN – Indeks pencemaran udara (IPU) sangat tidak sihat di kawasan Balok Baru di sini yang merekodkan bacaan IPU 252 dijangka semakin meningkat susulan kebakaran ladang kelapa di kawasan itu yang masih berlaku.
Keadaan itu turut menyaksikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan dengan pencemaran udara yang berlaku di kawasan Balok Baru itu.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, baginda berharap semua penduduk yang tinggal di kawasan terlibat terutama yang mempunyai masalah pernafasan lebih berhati-hati agar tidak menerima kesan langsung akibat pencemaran udara.
Katanya, Al-Sultan Abdullah juga bertitah agar kegiatan luar juga perlu dihentikan buat masa ini bagi mengelak daripada dijangkiti sebarang masalah kesihatan termasuk aktiviti melibatkan pelajar sekolah di kawasan berkenaan.
“Paduka baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka terutamanya ketika musim cuaca panas dan berangin ini.
Semalam Kosmo! Online melaporkan kira-kira 76 hektar kawasan ladang kelapa di sekitar Jalan Pintasan Kuantan-Sg Ular berhampiran Gebeng di sini musnah dalam kejadian kebakaran hutan sejak sembilan hari lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Ibrahim dilaporkan berkata, sehingga semalam kira-kira 67 hektar kawasan yang terbakar telah berjaya dipadamkan.
Katanya, baki kira-kira 8.9 hektar masih terbakar dan api mula merebak semula semalam akibat tiupan angin kuat. – KOSMO! ONLINE